KUALA LUMPUR: Raja Zarith Sofia Idris Shah meminta mahasiswa menggunakan daya intelektual mereka yang tinggi bagi memahami pelbagai isu yang melanda negara kebelakangan ini termasuk berhubung isu BERSIH.
Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah, mahasiswa perlu memahami setiap isu dan perkara yang berlaku serta mengambil kira pandangan banyak pihak sebelum membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara berbangkit.
“Pada pendapat beta, idea BERSIH (mengadakan perhimpunan haram) disebabkan ia sudah dirampas kumpulan dan individu tertentu. Esoknya (selepas perhimpunan), apabila kita baca berita, kita dapati ada pihak yang melanggar peraturan. Apa yang beta hendak jelaskan, jangan terus percaya dengan apa yang anda dengar dan baca. Anda perlu jelas.
Jangan samakan apa yang berlaku di negara ini dengan di Asia Barat, sebaliknya jadikan ia sebagai satu pengajaran - Raja Zarith Sofia Idris Shah, Canselor Universiti Teknologi Malaysia “Anda perlu mempunyai pendirian terhadap apa yang betul dan salah. Sekurang-kurangnya cuba memahami sebelum memihak,” titah baginda ketika menjawab soalan dalam sesi dialog Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia (MSLS) 2011, di sini semalam.
Terdahulu baginda menyampaikan ucap utama pada persidangan itu yang bertema ‘Menentukan Hala Tuju Masa Depan Malaysia’ dan dihadiri hampir 1,000 pemimpin mahasiswa dari dalam dan luar negara.
Raja Zarith Sofia bertitah, mahasiswa perlu terbuka terhadap laporan media termasuk media arus perdana yang memberi gambaran mengenai perhimpunan itu.
“Biasanya media arus perdana menyiarkan laporan yang menggambarkan ada pihak yang baik dan jahat. Anda mungkin bersetuju atau tidak bersetuju kerana tidak ada pihak yang salah atau benar. Apa yang penting kita perlu sedar bahawa perkara ini berlaku ketika kita sedang menuju ke arah negara yang matang.
“Jangan samakan apa yang berlaku di negara ini dengan di Asia Barat, sebaliknya jadikan ia sebagai satu pengajaran,” titah baginda sambil menambah revolusi di Asia Barat seperti Mesir disebabkan rakyatnya kecewa dengan kemiskinan, tekanan, tiada peluang pekerjaan dan pendidikan.
“Kita perlu sedar dengan apa yang berlaku di sana seperti di Kaherah tidak sama dengan apa berlaku di sini. Di sini kanak-kanak berpeluang ke sekolah dan mendapat biasiswa,” titah baginda lagi.
No comments:
Post a Comment