Thursday, May 12

Goda pengunjung kafe

PENAMPANG: Seorang gadis penjaga kafe siber judi haram bukan saja menjadikan premis tempatnya bekerja sebagai punca pendapatan, malah bijak mencari wang saku tambahan apabila turut menawarkan perkhidmatan seks secara rahsia kepada kaki judi yang ‘menang besar’ pada hari itu.

Tindakan tidak bermoral gadis berusia 19 tahun itu dipercayai dilakukan secara tersembunyi bagi mengelak diketahui majikannya.

Gadis berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahsia pada awalnya terkejut ketika wartawan Metro Ahad yang menyamar sebagai kaki judi mengajukan pertanyaan itu dan dia menafikan sekeras-kerasnya wujud perbuatan sebegitu di kafe berkenaan.

Namun selepas dipujuk dan menunjukkan ‘imbuhan’ diterima selepas mendakwa menang berjudi di tempat lain, dia akhirnya mengaku menawarkan perbuatan itu dan meminta ia dirahsiakan.


“Kerja di kafe tidak menjanjikan pendapatan lumayan dan saya hanya dibayar gaji sekitar RM300 sebulan selain terpaksa bekerja sehingga awal pagi hampir setiap hari.

“Ketiadaan majikan yang pulang ke rumah sekitar jam 11 malam membolehkan saya mengambil kesempatan menjalankan ‘aktiviti sampingan’ ini dengan mana-mana lelaki yang memenangi pertaruhan pada hari itu,” katanya.

Ahsia berkata, apabila menyedari ada pelanggan menang besar, dia akan cuba mendekati lelaki berkenaan sebelum menawarkan perkhidmatan seks.

“Lelaki yang menang besar biasanya tidak berkira atau menolak tawaran melakukan hubungan seks, walaupun dalam tempoh singkat.

“Biasanya, kami melakukan hubungan seks di tandas atau di mana-mana lokasi di dalam premis ini selepas semua pelanggan pulang,” katanya.

Menurut Ahsia, lelaki yang berjaya dijeratnya juga sanggup menunggu sehingga kafe ditutup.

“Saya hanya perlu menggoda mereka yang kebanyakannya asyik berseronok apabila pertaruhan mereka mengena.

“Jika tahu lelaki yang bakal diperangkap ini menang besar, saya menawarkan harga RM300 manakala bagi pelanggan biasa, mereka hanya perlu membayar RM200 untuk sekali perkhidmatan,” katanya.

Menurut Ahsia, lewat malam adalah masa sesuai mencari ‘mangsa’ berikutan waktu itu kaki judi mula mengunjung kafe untuk bertaruh nasib.

“Ada juga kaki judi sudah berkahwin tetapi masih mahukan perkhidmatan ini, malah mereka menawarkan wang lebih jika saya bersetuju mengikut pulang ke rumah.

“Kebanyakan kaki judi yang berkunjung ke kafe ini bukan golongan kaya tetapi selepas memenangi beberapa pertaruhan, wang itulah yang digunakan untuk membayar khidmat seks ditawarkan,” katanya.

Ahsia tidak menafikan mampu meraih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, bergantung kepada bilangan kaki judi yang berjaya dipikat.

Menceritakan bagaimana dia terjebak dalam perbuatan itu, Ahsia berkata, dia mulanya bekerja sebagai pelayan di restoran dan bosan apabila sering tidak cukup wang untuk membeli barang berjenama seperti rakan lain.

“Melihat keadaan saya yang sentiasa merungut, seorang rakan serumah menawarkan saya bekerja sebagai penjaga kafe sepertinya.

“Ketika itu saya kurang yakin dengan pekerjaan ini dan beranggapan gaji diterima sama seperti bekerja di restoran.

“Namun, rakan meyakinkan saya supaya mencuba dulu pekerjaan ini, termasuk mengajar cara mendapatkan wang tambahan,” katanya.

Ahsia berkata, selepas berfikir panjang, akhirnya dia menerima tawaran bekerja di pusat judi siber dan menawarkan khidmat seks seperti diajar rakannya.

“Lama-kelamaan, saya mendapati pendapatan lebih berbaloi kerana selain mendapat gaji tetap setiap bulan, saya memperoleh pendapatan sampingan yang diberi pelanggan,’’ katanya.

Ahsia berkata, walaupun majikan tidak tahu perkara itu, secara tidak langsung tawaran khidmat seks menjadikan kafe berkenaan dikunjungi ramai pelanggan.

“Kewujudan banyak kafe judi siber menyebabkan persaingan menjadi sengit untuk majikan mencari dan mengekalkan pelanggan sedia ada,” katanya.