Kota Bharu: Pemain import Kelantan, Mohamed Ghaddar mengotakan janjinya untuk pulang bersama The Red Worriors apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, petang semalam. Bagaimanapun, pemain itu tidak terus ke Kota Bharu, untuk berhadapan perbicaraan dengan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berhubung kelewatannya melaporkan diri bersama pasukan itu, Ahad lalu.
Hadapi perbicaraan
Sebaliknya dia akan ke Kelana Jaya, hari ini untuk berdepan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi perbicaraan kesnya yang didakwa melakukan kekasaran terhadap pemain lawan.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Affendi Hamzah, semalam.
Langsung perkahwinan
“Ghaddar yang bercuti di Lubnan selepas melangsungkan perkahwinannya dengan seorang gadis berusia 19 tahun pada hujung Jun lalu, tiba dari Beirut, semalam dan akan terus berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri perbicaraan di Wisma FAM, hari ini,” katanya kepada BH Sukan, semalam.
Beliau berkata, bekas penyerang kebangsaan Lubnan itu akan diiringi Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim, yang juga pengurus pasukan Kelantan untuk hadir di perbicaraan itu.
“Dia akan memberi penjelasan berhubung insiden kekasaran terhadap pemain Selangor, Bunyamin Umar yang didakwa dilakukannya ketika perlawanan antara The Red Warriors dengan pasukan itu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu 29 Jun lalu.
"Kita akan beri laluan kepada FAM untuk membuat perbicaraan ini dan selepas itu barulah Ghaddar menghadap Jawatankuasa Disiplin KAFA berhubung kelewatannya melaporkan diri bersama pasukan Kelantan," katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan Ghaddar akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin KAFA selepas penyerang berbisa The Red Warriors itu pulang dari Beirut, Lubnan.
Jawatankuasa Disiplin yang diketuai Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim, akan mendapatkan penjelasan dari pemain berkenaan mengenai tindakannya tidak melaporkan diri sebaik cutinya berakhir Ahad lalu.
Bagaimanapun, KAFA tidak menjelaskan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap Ghaddar jika pemain itu gagal memberi jawapan munasabah.
Sumber Berita Harian
No comments:
Post a Comment