KUANTAN: Seorang pelajar yang dipercayai berlumba dengan beberapa rakannya maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Jalan Semantan Felda Keratong 4, Bandar Baru Tun Razak, Rompin, semalam.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian 12.30 malam itu mangsa, Muhammad Khalil Qusyairi Abdul Halim, 15, dipercayai sedang berlumba dengan beberapa rakannya.
"Perlumbaan yang bermula dari Masjid Felda Keratong 4 itu telah menyebabkan motosikal yang ditunggangi mangsa terbabas ke kiri jalan kira-kira 100 meter sebelum garisan penamat di Simpang Jalan Utama Felda Keratong 4.
Ekoran kejadian itu motosikal mangsa telah merempuh tiang elektrik manakala mangsa jatuh terlentang di atas jalan sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Komuniti berhampiran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai lesen dan tidak memakai topi keledar meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang lagi penunggang motosikal maut apabila kenderaannya dilanggar sebuah kereta di Jalan Kuantan Bypass dekat Pelabuhan Kuantan berhadapan stesen minyak Shell Balok pada 8.15 pagi semalam.
Katanya mangsa, Ngadinam Panjan, 54, seorang suri rumah dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kemaman.
Fauzi berkata sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai telah mengubah laluan dari kiri ke kanan jalan untuk membuat pusingan U.
Namun katanya motosikal yang ditunggangi mangsa telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang berada dilorong kanan laluan sama.
Beliau berkata mangsa yang terjatuh di atas jalan meninggal dunia di tempat kejadian. - Bernama
No comments:
Post a Comment